RENUNGAN

Aku hanya manusia biasa yang mana pendapat aku mungkin benar dan mungkin salah. Maka telitilah pendapat yang aku kemukakan. Semua pendapat yang selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah maka ambillah ia manakala yang tidak selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, tinggalkanlah. (Kata-kata oleh Malik Bin anas Rahimahullah, Riwayat Ibn ‘Abd al-Barr di dalam Jami’ Bayan al-Ilm, jld. 2, ms. 32)

Monday 24 December 2012

Banjir di Kelantan semakin buruk


Mangsa banjir di Kelantan bertambah
Pelajar, kakitangan UMK Kampus Kota tidak dapat meneruskan aktiviti mereka selepas kawasan tersebut dilanda banjir - Foto Bernama
KOTA BAHRU - Banjir di Kelantan semakin buruk dengan jumlah mangsa meningkat kepada 102 orang di sebelah petang berbanding hanya 18 orang di sebelah pagi.
Menurut portal rasmi kerajaan negeri, jumlah itu membabitkan 24 keluarga di empat jajahan iaitu Kota Baharu, Machang dan Pasir Mas selain Pasir Puteh yang mangsa berpindah sejak tengah malam tadi.
Di Kota Baharu, seramai 31 orang dipindahkan iaitu 27 orang di Sekolah Kebangsaan Tiong dan empat orang di Pejabat Penggawa Peringat.

Di Machang, empat orang ditempatkan di Madrasah Sungai Mas manakala di Pasir Mas, seramai 49 dipindahkan, 23 daripadanya ditempatkan di Madrasah Haji Daud, Kangkong dan 26 orang lagi di Sekolah Kebangsaan Baroh Pial.

Di Pasir Puteh, jumlah mangsa kekal 18 orang yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Awang malam tadi.
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan, Roslee Mamat berkata Sungai Golok di Jenob kini melepasi paras bahaya iaitu 24.64 meter (paras bahaya 23.50 meter) dan di Rantau Panjang, air kini pada tahap 9.25 meter (paras bahaya 9 meter), manakala sungai utama lain berada di paras amaran.
Beliau berkata keadaan tengkujuh di Kelantan kini di peringkat jingga dan keadaan itu dijangka berterusan sehingga lusa.
Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam Facebook meminta rakyat berwaspada dengan keadaan tengkujuh dan menjaga keselamatan anggota keluarga terutama kanak-kanak.
Beliau turut meminta semua agensi termasuk wakil rakyat agar sentiasa peka terhadap keperluan rakyat dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang terbabit.
Keadaan cuaca di Kelantan kini mendung dengan hujan lebat sekali sekala.
Sementara itu kira-kira 2,000 pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota di sini tidak dapat meneruskan aktiviti harian ekoran kawasan kampus dinaiki air kira-kira satu meter.
Pegawai Perhubungan Awam UMK, Mohamad Naim Idris berkata kedudukan kampus yang terletak di kawasan rendah menyebabkan ia mudah dilanda banjir setiap kali hujan lebat.
"Jika hujan lebat selama sehari, tempat ini senang dinaiki air," katanya.
Beliau berkata Sabtu lepas, UMK turut dinaiki air namun surut pada keesokan harinya dan aktiviti pembelajaran berjalan seperti biasa.
"Mungkin hujan terlalu lebat sehinggakan pam yang disediakan Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan tidak dapat menampung jumlah air yang terlalu banyak.
"Para pensyarah memutuskan untuk membatalkan kelas hari ini kerana bahagian blok bawah bangunan dinaiki air. Namun, kakitangan bukan akademik masih menjalankan tugas seperti biasa," katanya.
Tinjauan Bernama di sekitar kawasan tersebut mendapati kira- kira 50 kedai berhampiran turut ditutup berikutan air menggenangi kawasannya.
Selain tidak dapat berniaga, mereka juga bimbang kerana ada pihak yang mengambil kesempatan memecah masuk ke kedai mereka.
Pembantu kedai, Wardiana Ismail, 26, berkata kedai tempatnya bekerja hampir diceroboh masuk malam tadi apabila pintu kedai itu diumpil.
"Saya tiba ke kedai kira-kira 10 pagi tadi dan lihat pintu ada kesan diumpil. Bagaimanapun pencuri tak sempat melarikan barangan dalam kedai kerana pintu dihalang oleh sebuah almari," katanya.

Menurutnya kedai itu ditutup kira-kira 4 petang semalam. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...