RENUNGAN

Aku hanya manusia biasa yang mana pendapat aku mungkin benar dan mungkin salah. Maka telitilah pendapat yang aku kemukakan. Semua pendapat yang selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah maka ambillah ia manakala yang tidak selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, tinggalkanlah. (Kata-kata oleh Malik Bin anas Rahimahullah, Riwayat Ibn ‘Abd al-Barr di dalam Jami’ Bayan al-Ilm, jld. 2, ms. 32)

Monday 31 December 2012

Anak mati dalam tahanan polis ibu tuntut penjelasan


Ibu tuntut penjelasan anak mati dalam tahanan
Jenice (tengah), Nagamah (tiga, kanan) dan Krishna menunjukkan foto kecederaan dialami mangsa, semalam.
AMPANG - Seorang ibu menuntut penjelasan pihak berkuasa berhubung kematian anaknya sewaktu dalam tahanan lokap pada 24 Disember lalu.

M Nagamah, 58, berkata, dia terkilan apabila kematian anaknya, K K Nagarajan, 42, ketika dalam tahanan polis hanya diketahuinya melalui individu lain.

Dakwanya, penahanan anaknya pada 22 Disember lalu juga tidak dimaklumkan kepada keluarganya sehinggalah dia menerima berita kematian anak sulungnya itu.

“Saya sangat sedih dan kecewa, mengapa perkara ini boleh berlaku serta mahukan penjelasan bagaimana anak saya boleh meninggal dunia semasa dalam tahanan polis,” katanya pada sidang media di Pejabat Dun Teratai semalam.

Hadir sama, Adun Teratai, Jenice Lee Ying Ha dan ahli keluarga mangsa.

Nagamah berkata, dia mahu keadilan sewajarnya dan akan memohon bantuan guaman bagi membela kematian anaknya itu.

Katanya, dia kini sudah tiada anak kerana sebelum mendiang Nagarajan, seorang lagi anaknya meninggal dunia akibat kemalangan.

Bapa saudara mangsa, M Krishna Murthie, 48, pula berkata, dia difahamkan anak saudaranya meninggal dunia kerana terjatuh dalam lokap.

Katanya, semasa melihat mayat anak saudaranya di Hospital Kuala Lumpur, dia berasa curiga kerana melihat beberapa kecederaan serius pada muka mangsa.

“Kami memang curiga dengan kematian mangsa dan tidak berpuas hati kerana pihak polis tidak memaklumkan kepada keluarga sepanjang tempoh tahanan sehinggalah kematian anak saudara saya.

“Saya juga ingin mengetahui punca sebenar kematian dan bagaimana anak saudara saya boleh mengalami kecederaan yang teruk,” katanya.

Sementara itu, Jenice berkata, pihaknya akan menyediakan seorang peguam bagi mewakili keluarga mangsa dalam kes tersebut.

Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan keluarga mangsa dinafikan hak sepanjang proses tahanan sehingga kematian mangsa.

“Saya sangat kesal kerana kes kematian dalam tahanan polis masih berlaku dan pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenangnya menafikan hak asasi seseorang semasa dalam tahanan polis,” katanya.

Sumber Sinar harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...