RENUNGAN

Aku hanya manusia biasa yang mana pendapat aku mungkin benar dan mungkin salah. Maka telitilah pendapat yang aku kemukakan. Semua pendapat yang selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah maka ambillah ia manakala yang tidak selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, tinggalkanlah. (Kata-kata oleh Malik Bin anas Rahimahullah, Riwayat Ibn ‘Abd al-Barr di dalam Jami’ Bayan al-Ilm, jld. 2, ms. 32)

Monday 31 December 2012

Ditipu " MAT SALEH " RM5 Ribu lebur


Diperdaya lelaki mat saleh
Syamil menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas ditipu lelaki warga asing yang dikenali melalui laman sembang sosial tiga minggu lalu.
ALOR GAJAH - Perkenalan singkat seorang remaja dengan lelaki mat saleh melalui laman sosial menyebabkan dia menanggung kerugian apabila wang berjumlah RM5,040 yang disimpan sekian lama dilesapkan lelaki berkenaan.

Difahamkan, mangsa, Syamil Apendy, 23, dari Masjid Tanah mula mengenali mat saleh yang dikatakan berminat dengan keindahan alam negara ini.

Dalam perkenalan itu, mat saleh itu turut menyatakan hasrat untuk melancong ke negara ini seorang diri dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 8 pagi Ahad lalu.


Syamil berkata, sebaik tiba di terminal, lelaki itu menghubunginya dan memaklumkan dia ditahan Jabatan Kastam selain kehabisan kredit prabayar untuk menghubungi ibunya yang berada di Amerika Syarikat.

"Dia meminta saya menambah kad nilai prabayar berjumlah RM20.

Dia ditahan kerana disyaki membawa masuk wang haram berjumlah USD97,000,00.

"Bagi mengelak dirinya ditahan, dia meminta saya memasukkan sejumlah wang tunai RM29,000 sebagai bayaran untuk pelepasan pihak kastam," katanya, dekat sini.

Dakwanya, lelaki terbabit merayu supaya membantunya dan meminta wang berkenaan dimasukkan segera ke dalam akaun Maybank milik seorang wanita bernama Mazmi Mat Aji.

“Saya nyatakan kepadanya bahawa saya tiada wang sebanyak itu namun atas perasaan simpati saya masukkan RM700 dalam akaun yang diberi kira-kira 11.30 pagi hari kejadian.

"Bagaimanapun jumlah itu masih tidak mencukupi dan saya diminta memasukkan sejumlah lagi wang ke dalam akaun yang dimaksudkan dengan segera. Tanpa berfikir panjang, sejam selepas itu saya pergi ke Pekan Masjid Tanah dan memasukkan wang berjumlah RM4,340 ke dalam akaun sama,” katanya ketika ditemui, di sini.

Selepas lima hari berlalu, Syamil cuba hubungi lelaki berkenaan yang masih ditahan di lapangan terbang KLIA yang turut menyatakan akan dihubungi seorang wanita dipercayai pegawai kastam.

“Wanita berkenaan kemudian menyuruh saya balik jika enggan memasukkan wang selebihnya dan meminta saya lupakan sahaja niat membantu lelaki terbabit yang masih ditahan.

“Saya rasa seperti ada yang tak kena sebelum memaklumkan kepada keluarga mengenai kejadian,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah, di sini, petang kelmarin.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid berkata, dia mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dilaksanakan segenap sudut.

“Polis percaya jenayah penipuan ini dilakukan satu sindiket yang terancang dan agak licik serta kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 402 kanun Keseksaan,” katanya di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...