RENUNGAN

Aku hanya manusia biasa yang mana pendapat aku mungkin benar dan mungkin salah. Maka telitilah pendapat yang aku kemukakan. Semua pendapat yang selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah maka ambillah ia manakala yang tidak selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, tinggalkanlah. (Kata-kata oleh Malik Bin anas Rahimahullah, Riwayat Ibn ‘Abd al-Barr di dalam Jami’ Bayan al-Ilm, jld. 2, ms. 32)

Wednesday 9 January 2013

Kalimah Allah Sultan Selangor kesal kenyataan Lim Guan Eng

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kesal dengan kenyataan Lim Guan Eng, yang meminta kerajaan pusat meluluskan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible versi bahasa melayu.

Berikut daripada itu baginda telah memanggil satu mesyuarat khas dengan beberapa Ahli Majlis Agama Islam Selangor, Mufti Selangor serta pengawai tertinggi MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor pada 6 Januari.


Baginda kemudian membuat ketetapan dan menitahkan kalimah Allah merupakan kalimah suci khusus bagi umat islam dan tidak boleh digunakan bagi yang bukan islam.Menurut baginda keputusan itu selaras dengan fatwa diwartakan pada 18 februari 2010.

Baginda juga kesal, kerana titah Baginda itu dipandang remeh oleh sesetengah pihak sehingga isu sama dibangkitkan semula untuk modal politik dan menegaskan ia akan mengakibatkan kemusnahan kepada keamanan yang dikecapi rakyat pelbagai agama.

Berikutan itu, katanya, baginda menitahkan MAIS dan JAIS untuk mengambil tindakan tegas terhadap orang bukan Islam atau orang Islam yang mempersoalkan atau memperlekehkan fatwa dikeluarkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada di negeri ini.
Jelasnya lagi, di Selangor ada undang-undang yang digubal Dewan Undangan Negeri pada April 1988 dan dikuatkuasakan pada Julai 1988 berkaitan pengawalan penggunaan kalimah Allah iaitu Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.
“Enakmen ini telah diwujudkan selaras Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 9, Enakmen berkenaan dengan jelas melarang kalimah Allah daripada digunakan oleh orang bukan Islam di dalam apa-apa perkara berkaitan dengan agama mereka.
“Tuduhan dan hukuman boleh dijatuhkan bagi mereka yang ingkar,” ujarnya.
Sebarang penjelasan lanjut berkaitan fatwa dan undang-undang berkaitan kalimah Allah boleh layari laman web MAIS www.mais.gov.my.
Akhbar baru-baru ini melaporkan, isu kalimah Allah dicetuskan semula oleh Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam perutusan Hari Krismas lalu apabila menggesa kerajaan membenarkan penggunaan kalimah itu dalam Bible versi bahasa Melayu.
Tindakan itu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak yang meminta Guan Eng menarik balik kenyataannya.

Sumber Kosmo

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...