29 Nov 2012
KUANTAN - Seorang pekerja ladang kelapa sawit dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh anak kandungnya sendiri pada 16 Nov lepas.
Mohd Aswadey Ismail, 29, didakwa membunuh Nor Amirah Mohd Aswadey, 11 bulan, di antara pukul 9.30 malam hingga 10.30 malam di rumah mereka yang bernombor 146, Felda Sungai Panching Selatan, di sini.
Bagi kesalahan itu, Mohd Aswadey didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memahami pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.
Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari kemudiannya memohon mahkamah untuk merujuk tertuduh ke Hospital Psikiatrik bagi pemeriksaan mental bagi pengesahan tertuduh mengalami masalah mental atau tidak.
Nurunaim menetapkan 28 Dis depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di mahkamah yang sama tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan penyalahgunaan dadah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada pukul 2 pagi, 17 Nov lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 dan dua tahun pengawasan.
Nurunaim menetapkan 7 Jan depan untuk sebutan semula kes tersebut.
Akhbar sebelum ini melaporkan Mohd Aswadey mengelar anak kandungnya sendiri yang berusia 11 bulan selepas khayal mengambil dadah di rumahnya di Felda Panching Selatan ,16 Nov lepas.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata, suspek yang mengusahakan kebun kelapa sawit di tanah rancangan itu didapati mengambil dadah menyebabkan dia berkhayal dan mendakwa ada individu yang mahu mengambil anaknya.
Polis menahan suspek pada hari yang sama di persimpangan lampu isyarat berdekatan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu lima kilometer dari rumahnya serta menemui sebilah pisau berukuran 15 sentimeter di dalam bilik tempat kejadian yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa.
Sumber dari Sinar Harian
No comments:
Post a Comment