RENUNGAN

Aku hanya manusia biasa yang mana pendapat aku mungkin benar dan mungkin salah. Maka telitilah pendapat yang aku kemukakan. Semua pendapat yang selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah maka ambillah ia manakala yang tidak selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, tinggalkanlah. (Kata-kata oleh Malik Bin anas Rahimahullah, Riwayat Ibn ‘Abd al-Barr di dalam Jami’ Bayan al-Ilm, jld. 2, ms. 32)

Wednesday, 28 November 2012

Anggota polis dilanggar penyamun


KUCHING: Polis melepaskan empat das tembakan ke arah sebuah Perodua Kelisa yang dinaiki seorang suspek kes pecah rumah selepas dia melanggar anggota polis yang menahannya untuk membuat pemeriksaan dalam kejadian di Tabuan Desa, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, polis menerima maklumat daripada seorang pelajar sebuah kolej swasta bahawa rumahnya di Tabuan Desa dimasuki pencuri dan suspek melarikan Perodua Kelisa, beberapa barangan elektrik dan wang.

Bertindak atas maklumat itu, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) bergegas ke tempat kejadian dan ketika dalam perjalanan, mereka terserempak kereta dilaporkan hilang itu.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Deputi Superintendan Pauzi Bujang berkata, anggota MPV berkenaan menahan kereta Perodua Kelisa itu untuk pemeriksaan, tetapi suspek iaitu seorang lelaki berusia awal 30-an, melanggar anggota berkenaan.

“Bagaimanapun, anggota polis itu bernasib baik kerana tidak cedera walaupun terjatuh selepas dilanggar suspek,” katanya.


Menurutnya, anggota terbabit kemudian melepaskan empat das tembakan, dua mengenai badan kereta dan dua lagi pada tayar depan dan belakang bahagian kanan.



“Selepas empat tembakan dilepaskan, suspek memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan melarikan diri, tetapi keadaan gelap menyukarkan polis mengejar suspek,” katanya.

Pauzi berkata, berhubung kes yang sama, polis menahan seorang lagi suspek iaitu seorang wanita berusia 22 tahun yang menaiki motosikal curi Honda berwarna hijau menggunakan nombor pendaftaran palsu.


“Wanita itu dipercayai menggunakan motosikal berkenaan bersama suspek untuk melakukan jenayah pecah rumah sebelum suspek lelaki melarikan Perodua Kelisa milik mangsa,” katanya.

Pauzi berkata, pemeriksaan dalam kereta berkenaan menjumpai barang milik pengadu dan semua bahan itu dibawa ke Balai Polis Simpang Tiga untuk tindakan selanjutnya.


Katanya, suspek yang melarikan diri sudah dikenal pasti dan usaha mengesannya giat dijalankan.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, manakala anggota polis yang terbabit hanya cedera ringan di tangan dan menjalani rawatan pesakit luar di Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya - Sumber Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...