RENUNGAN

Aku hanya manusia biasa yang mana pendapat aku mungkin benar dan mungkin salah. Maka telitilah pendapat yang aku kemukakan. Semua pendapat yang selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah maka ambillah ia manakala yang tidak selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, tinggalkanlah. (Kata-kata oleh Malik Bin anas Rahimahullah, Riwayat Ibn ‘Abd al-Barr di dalam Jami’ Bayan al-Ilm, jld. 2, ms. 32)

Tuesday, 25 December 2012

Banjir besar pantai timur 6000 mangsa dipindahkan


KUALA LUMPUR — Keadaan banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang semakin buruk pagi ini dengan lebih 6,000 mangsa dipindahkan.
Sebanyak 2,594 mangsa kini berada di pusat pemindahan di Terengganu berbanding 1,301 malam tadi, manakala 1,963 mangsa dipindahkan di Kelantan berbanding kira-kira 1,000 semalam, menurut portal rasmi kerajaan negeri masing-masing.

Di Pahang, menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara, 1,743 mangsa banjir dicatatkan berbanding 915 semalam, manakala mangsa banjir di Johor pagi ini kekal 16 orang.
Di Kelantan, jajahan Kuala Krai menyaksikan paling ramai mangsa dipindahkan iaitu 907, diikuti Tanah Merah (314), Kota Baharu (295), Pasir Puteh (225), Pasir Mas (116), Machang (100) dan Tumpat (enam).
Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah, Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan di Rantau Panjang kini masih melepasi paras bahaya walaupun dilaporkan susut sedikit berikutan tiada hujan sejak malam tadi.
Bacaan di sungai-sungai utama lain bagaimanapun masih bertahan di paras amaran.
Tiada jalan utama yang ditutup kepada kenderaan dan tiada laporan kemalangan jiwa setakat ini. Cuaca di Kelantan ketika ini mendung.
Di Terengganu, mangsa paling ramai dipindahkan ialah di daerah Besut melibatkan 1,096 orang diikuti Setiu (461), Dungun (317), Kemaman (251), Marang (224), Hulu Terengganu (154) dan Kuala Terengganu (91).
Kemaman merupakan daerah terakhir mengalami banjir petang semalam berikutan kawasan rendah dinaiki air.
Sebanyak 52 pusat pemindahan banjir kini dibuka di seluruh Terengganu.
Sementara itu, jalan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu di kilometer 78.5 berdekatan Kampung Guntong Luar di Setiu ditutup kepada kenderaan ringan selepas ditenggelami air sedalam 0.3 meter.
Laluan sepanjang dua kilometer di KM68.1 hingga KM70.1 Bandar Permaisuri pula ditenggelami air sedalam 0.35 meter juga ditutup kepada kenderaan ringan.
Jalan Jerangau-Jabor di hadapan stesen timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Besi, Dungun ditutup kepada semua kenderaan selepas ditenggelami air sedalam 0.6 meter.

Sumber Kosmo
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_02.htm#ixzz2G3FemrPb 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...