Lima pelajar kolej ditahan edar pil kuda
KUANTAN — Polis menahan lima pelajar lelaki sebuah kolej swasta di Pekan semalam yang dipercayai mengedar pil kuda.
Ketua Polis Daerah Pekan, Supt. Yahaya Othman berkata, kesemua pelajar yang berusia 18 tahun itu juga didapati positif dadah tersebut.
Beliau berkata, dalam serbuan kira-kira 1.30 tengah hari itu, pihak polis menemui 50 pil kuda di dalam sebuah lokar salah seorang daripada mereka di bilik asrama.
"Kita percaya bekalan pil kuda yang diedarkan di sekitar daerah Pekan itu diperolehi dari negeri jiran yang dijual dengan harga RM20 sebiji," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.— BERNAMA
Dakwaan paksa lakukan seks: Anggota polis direman
BUKIT MERTAJAM — Tiga anggota polis ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung aduan seorang wanita warga asing yang mendakwa dipaksa melakukan hubungan seks ketika disiasat.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, polis kini menjalankan siasatan terperinci terhadap kes itu.
"Kita tidak akan melindungi anggota polis berkenaan sekiranya terbukti mereka terbabit dalam kejadian tersebut,” katanya.— BERNAMA
Suspek kes rompakan bank ditembak mati
KUALA LUMPUR — Polis hari ini menembak mati seorang suspek kes rompak sebuah bank yang kerugian RM202,800 pada 5 November lepas, dalam kejadian di Kampung Chubadak, Jalan Datuk Senu 3 di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd. Adnan Abdullah berkata, seorang lagi rakan suspek yang turut berada di dalam kereta jenis Toyota Vios, melarikan diri dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi ini.
Beliau berkata, kejadian berlaku apabila pasukan khas polis yang dibentuk untuk menyiasat kes itu mengesan kereta sebuah BMW putih di Greenwood, Gombak, yang digunakan dalam rompakan bank di Seri Damansara itu.
"Menyedari diekori, pemandu BMW memecut laju kereta itu dan berhenti di Plaza Tol Gombak sebelum menaiki kereta Toyota Vios yang menunggu di situ."
"Suspek dan polis berbalas tembakan ketika kereta itu dikejar sejauh 15km," katanya.
Dalam keadaan kelam kabut itu, kereta Vios tersebut terbabas sebelum merempuh tembok sebuah madrasah di lokasi kejadian,” katanya.
Mohd. Adnan berkata, seorang suspek melarikan diri manakala pemandu kereta berusia 33 tahun berasal dari Kelantan, mati ditembak.— BERNAMA
No comments:
Post a Comment