Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein berkata, penduduk dikawasan berdekatan telah diarahkan untuk berpindah untuk menjamin keselamatan dan sehingga kini tiada laporan penduduk dijadikan tebusan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata kumpulan itu menceroboh masuk ke Lahad Datu disebabkan masalah yang berlaku di Selatan Filipina dan pihak Polis telah mengenal pasti kumpulan tersebut sebagai pewaris berketurunan "Raja Sulu" dari selatan Filipina.
Beliau berkata, kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal.
"Kita telah hantar pasukan untuk berunding dengan mereka dan perbincangan berjalan baik dan kita beritahu mereka bahawa mereka kena tinggal (Sabah) secara baik dan kita tidak mahu apa-apa keadaan yang boleh menggugatkan keselamatan rakyat di negeri ini," katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini hari ini.
Ismail berkata kumpulan itu yang kini berada di Kampung Tandau, Labian di Lahad Datu memberi jaminan akan meninggalkan tempat itu (Sabah) secepat mungkin dengan syarat tuntutan mereka dipenuhi.
Beliau berharap anggota kumpulan berkenaan akan meninggalkan negeri ini secepat mungkin dan menegaskan tuntutan seharusnya dibuat secara diplomatik, bukan secara mengejut seperti yang dilakukan itu.
"Kita lihat perbincangan dalam keadaan terkawal dan pasukan keselamatan telah mengambil tindakan awal dengan mengepung kampung itu sejak semalam dan saya percaya perkara ini dapat diselesaikan secara baik dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata pihaknya mengganggarkan kumpulan itu melebihi 100 orang dan tidak menolak kemungkinan mereka bersenjata, namun demikian polis mengambil pendekatan 'berhati-hati' bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
"Setakat ini keadaan tidak tegang dan mereka kelihatan berkelakuan baik.
Kita percaya kumpulan itu mempunyai sahabat di kampung itu tetapi tidak mempunyai rumah di situ. Mereka pergi duduk di surau dan menumpang rumah-rumah di kampung," katanya sambil menambah kumpulan itu tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana kumpulan militan di Filipina.
Pada peringkat ini, katanya, rundingan sedang berjalan dan beliau menasihati penduduk di sekitar Lahad Datu supaya tidak percaya pada khabar angin.
Beliau turut memberi jaminan bahawa keadaan adalah baik serta selamat dan polis Sabah akan melakukan yang terbaik untuk menangani kemelut itu segera.
Katanya kumpulan itu difahamkan menggunakan bot pancung dan pihaknya akan menyiasat bagaimana mereka berjaya memasuki negara ini.
No comments:
Post a Comment