RENUNGAN

Aku hanya manusia biasa yang mana pendapat aku mungkin benar dan mungkin salah. Maka telitilah pendapat yang aku kemukakan. Semua pendapat yang selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah maka ambillah ia manakala yang tidak selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, tinggalkanlah. (Kata-kata oleh Malik Bin anas Rahimahullah, Riwayat Ibn ‘Abd al-Barr di dalam Jami’ Bayan al-Ilm, jld. 2, ms. 32)

Tuesday, 1 January 2013

JAKIM mengulangi kenyataan khalimah ALLAH khusus untuk ISLAM


KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengulangi kenyataan bahawa lafaz ALLAH merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh diguna atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.


Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata perkara itu telah diputuskan pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008.

"Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Othman berkata, kalimah ALLAH merupakan kalimah suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah dan oleh itu umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini.

Katanya, sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada agama Islam, umat Islam dan rakyat Malaysia.

"Semua pihak seharusnya memaklumi bahawa kes berkaitan penggunaan kalimah ALLAH yang bermula pada tahun 2009 yang lalu masih belum selesai dan masih dalam peringkat rayuan ke Mahkamah Rayuan.

"Oleh yang demikian membicarakan isu berkaitan sama ada penganut Kristian Sabah dan Sarawak dibenarkan menggunakan kalimah 'Allah' dalam bible Bahasa Melayu dilihat seolah-olah mendahului mahkamah sendiri dan bersifat 'subjudis'", katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia bertanggungjawab memberi sepenuh kebebasan kepada mahkamah untuk membuat penghakimannya dan Jakim berpegang kepada semangat patuh kepada undang-undang sedia ada iaitu biarlah mahkamah membuat keputusan yang benar-benar adil dan mengambil kira keharmonian semua kaum dan agama di negara ini.

Katanya, tindakan sesetengah pihak yang mengeluarkan pendapat sendiri dan mendahului mahkamah dan mengkucar-kacirkan keharmonian antara kaum dan agama demi meraih keuntungan politik sempit amat dikesali. 

Justeru, Jakim menggesa semua pihak supaya kembali menghayati semangat kedaulatan undang-undang yang dilaung-laungkan selama ini untuk memastikan keharmonian antara kaum dan agama terus terpelihara dan dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Semua pihak harus menyokong keputusan yang dibuat oleh kerajaan yang bermatlamat untuk mengekalkan keharmonian antara kaum dan agama," katanya. 


Sumber Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...