JOHOR BAHRU - Seorang
pelajar wanita Universiti Teknologi Malaysia ditemui mati lemas di
dalam kolam renang di pusat sukan universiti itu di Skudai di sini petang
semalam.
Siti Izzati Hasim, 19,
pelajar tahun satu kejuruteraan biosains disedari lemas kira-kira 6.45 petang.
Mangsa yang berasal dari
Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur sebelum itu
dilapor pergi untuk berenang di pusat sukan itu bersama lima rakannya yang lain.
"Rakan-rakannya hanya
menyedari kehilangan mangsa apabila mereka keluar dari kolam dan setelah
mencari, mereka menemuinya dalam keadaan tidak sedarkan diri di dasar
kolam," kata Timbalan Ketua Polis Johor Bahru Utara, Supt Beh Eng Lai.
Beliau berkata pengawal
keselamatan kemudiannya membawa mayat mangsa keluar dari kolam kira-kira 7.20
malam dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat.
Sementara itu Timbalan Pengarah
Sukan UTM, Armadi Ahmad yang dihubungi berkata mangsa merupakan anggota Palapes
Laut UTM telah biasa menggunakan kolam renang itu.
"Ketika kejadian,
kumpulan ini tidak diawasi jurulatih mereka atau penjaga kolam renang.
Difahamkan sebelum mangsa ditemui lemas, penjaga kolam telah memanggil mereka
untuk naik selepas tamat masa menggunakan kolam iaitu kira-kira 6.45 petang dan
ketika itulah kehilangan mangsa disedari," katanya.
Menurutnya, pihaknya merasa
kesal dengan kemalangan itu dan akan mengambil langkah segera untuk mengelak
kejadian yang sama daripada berulang.
No comments:
Post a Comment