SHAH ALAM — Polis menjalankan hampir 7,000 serbuan di premis yang menjalankan aktiviti mesin perjudian di seluruh Selangor dalam ‘Ops Dadu’ sejak awal tahun ini sehingga Oktober lepas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, 6,927 serbuan dijalankan sehingga Oktober tahun ini berbanding 4,778 serbuan sepanjang tahun lepas dengan menyaksikan daerah Klang Selatan dan Petaling Jaya sebagai lokasi serbuan terbanyak.
"Daripada jumlah itu 1,748 tangkapan membabitkan pengusaha premis mesin perjudian itu dibuat dengan rampasan mencecah 23,114 alatan dan mesin perjudian dari seluruh Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, rampasan alatan perjudian yang kebanyakannya dibawa masuk dari negara jiran itu mencatatkan peningkatan 53 peratus berbanding tahun lepas yang hanya membabitkan rampasan 15,074 alatan serta mesin perjudian.
Mengulas lanjut Tun Hisan berkata, sehingga Oktober tahun ini 1,236 kes seumpama itu dicatatkan di mana 853 kes daripadanya telah dituduh di mahkamah manakala 300 kes masih dalam siasatan.— BERNAMA
No comments:
Post a Comment