ALOR SETAR — Seorang guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima tuduhan menerima suapan bernilai RM32,400 membabitkan bekalan pakaian seragam ko-kurikulum sekolah pada 2008 dan 2009.
Zakaria Md. Lazim, 54, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Tandop Besar (SKTB), Kuala Nerang dekat sini minta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Rosli Osman.
Bagi pertuduhan pertama, Zakaria didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan memilih ZNR Kuala Nerang Enterprise (ZNR) sebagai pembekal set pakaian Puteri Islam bernilai RM3,300 dan dia didakwa mempunyai kepentingan kerana pemilik ZNR merupakan adiknya sendiri, Ros Adimas Md. Lazim.
Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, Zakaria juga dituduh menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan memilih ZNR sebagai pembekal set pakaian PBSM bernilai RM6,300, set pakaian TKRS bernilai RM8,200 dan set pakaian Pengakap bernilai RM8,700.
Semua kesalahan itu dituduh dilakukan di SKTB pada November 2008 dan didakwa mengikut Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (undang-undang Malaysia Akta No.575) dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 Akta yang sama.— BERNAMA
No comments:
Post a Comment