LONDON - Pemandu Britain, Lewis Hamilton yakin jentera Mercedes GP yang akan dipandunya musim depan lebih perlahan daripada yang sepatutnya.
Hamilton berkata, situasi tersebut memaksa dia mengambil masa selama enam bulan untuk melakukan impak yang besar bersama jentera Sliver Arrows 2013.
"Saya rasa, masih terlalu awal untuk bercakap mengenai perkara itu kerana saya tidak pernah memandu jentera baharu," kata Hamilton ketika diminta mengulas mengenai sasarannya pada perlumbaan Formula Satu (F1) musim 2013.
"Kelihatan seperti (pada perlumbaan akhir) di Brazil, Mercedes ketinggalan 1.1 saat. Jadi, kami perlu bekerja keras untuk menghadapi saingan musim depan.
"Begitupun, saya rasa ia bukan sesuatu yang mustahil (menjadi jentera terpantas) kerana pasukan ini banyak potensi dan sebab itulah saya berani berhijrah ke Mercedes.
"Saya masih tidak boleh menjangkakan apa-apa buat masa terdekat ini. Saya tidak akan memandu jentera itu sehingga Februari (2013). Jadi, saya mungkin tidak dapat memberikan cabaran dalam tempoh enam bulan pertama."
Bekas pemandu McLaren itu turut mengakui bahawa dia bakal menghadapi pelbagai cabaran dalam pemburuan gelaran pada perlumbaan musim 2013.
Juara dunia 2008 itu juga yakin pasukan baharunya, Mercedes akan menunjukkan cabaran yang sebenar pada saingan 2014.
"Saya rasa, 2014 akan menjadi tahun yang penting dan sudah pasti saingan pada tahun itu juga sangat kompetitif.
"Sekiranya kami memperoleh beberapa kemenangan tahun depan, jika ia benar-benar berlaku, kami akan bergembira tetapi kami perlu tunggu dan lihat," kata pemandu berusia 27 tahun itu.
Hamilton menyertai Mercedes selepas mempamerkan aksi yang cemerlang selama enam tahun di McLaren.
Pada saingan tahun depan, Hamilton akan berganding bersama pemandu Jerman, Nico Rosberg. - Agensi
F1 SELANJUTNYA DISINI ( KLIK TAU )
Sumber Kosmo
No comments:
Post a Comment