GEORGETOWN - Ribuan pengguna jalan raya terperangkap dalam kesesakan jalan raya di sekitar bandar raya ini, semalam, berikutan perarakan sempena sambutan perayaan Thaipusam yang akan berlangsung di sini, hari ini.
Tinjauan mendapati, beberapa jalan utama menuju ke pusat bandar seperti Jalan Datuk Keramat, Jalan Ayer Itam dan beberapa jalan lain ditutup secara berperingkat, selain beberapa lencongan dibuat bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Namun, beberapa kawasan lain didapati mengalami kesesakan teruk seperti di Lebuhraya Tun Lim Chong Eu, Jalan Sungai Pinang, Jalan Gudwara, Jalan Megazine, Jalan Masjid Negeri, Jalan Scotland dan laluan menuju Jalan Kebun Bunga.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Wan Aziz Wan Husin berkata, bagaimanapun keadaan trafik masih terkawal.
Menurutnya, seramai 80 anggota trafik ditugaskan untuk mengawal lalu lintas sepanjang perayaan Thaipusam.
“Saya menasihatkan kepada pengguna jalan raya supaya elak dari menggunakan laluan perarakan dewa sempena Thaipusam yang akan berlangsung hari ini.
“Saya juga berharap pengguna jalan raya dapat bersabar dan bertimbang rasa ketika berada di atas jalan raya, selain mematuhi arahan yang diberikan anggota trafik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Keadaan lalu lintas kembali lancar kira-kira jam 5 petang.
Sinar
No comments:
Post a Comment